Table header Table header
Table cell 1Table cell 2

Saturday, January 12, 2008

Rimba Jaya






Rumah di Rimba Jaya menyembah bumi

SHAH ALAM, 30 Okt (Hrkh) - Tanpa belas, tanpa simpati, apa lagi untuk mengendahkan rayuan penduduk kampung, akhirnya penduduk Kampung Rimba Jaya, dekat sini menerima nasib yang sama seperti penduduk Kampung Berembang.
Menurut laporan seorang penduduk yang menghubungi Harakahdaily sebentar tadi, kira-kira jam 6.20 pagi, anggota polis, Polis Simpanan Persekutuan (FRU), pasukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan lima buah jentolak memasuki kawasan perkampungan.
Sementara itu, sekatan jalan raya diadakan di beberapa tempat masuk. Manakala kira-kira jam 7.30 pagi operasi perobohan dilakukan. Sehingga jam 8.55 pagi, semua rumah yang dihuni oleh 274 keluarga telah dirobohkan.

Pada 3 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan rayuan penduduk agar tidak dilakukan perobohan ke atas rumah mereka ditolak.
Justeru pada 9 Oktober, Badan Bertindak Penduduk telah menghantar surat rayuan kepada Menteri Besar Selangor agar memberi kelonggaran terhadap hukuman perobohan rumah-rumah mereka.

Bagaimanapun pada 19 Oktober, penduduk menerima surat yang dialamatkan kepada peguam mereka, Teng Chang Khim & Co dan mereka diarahkan berpindah pada atau sebelum 26 Oktober. Selain meminta ditangguhkan sehingga 30 Disember kerana anak-anak akan menghadapi peperiksaan, mereka juga merayu sebagai penyokong Barisan Nasional (BN), agar jasa mereka dikenang di atas sokongan tersebut dengan memberi kelonggaran perobohan.
Sementara itu, wartawan Harakahdaily ketika sampai di lokasi kejadian melaporkan pada jam 1 tengahari Ketua Penerangan PAS Shah Alam, Isma Mohd Ali, dan Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Kampung Rimba Jaya bersama Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli bermesyuarat dan mencapai kata sepakat agar Surau Al-Ijtimaiah di kampung berkenaan dirobohkan secara baik dengan segala kayu serta peralatannya akan digunakan untuk pembinaan surau baru Maahad Tahfiz A-Mukri, Puchong.

Dan sebaik sahaja masuk waktu zohor, mereka bersembahyang berjemaah yang merupakan solat jemaah terakhir di surau tersebut. Turut kelihatan menunaikan solat tiga orang penguatkuasa MBSA manakala kira-kira 300 orang penguatkuasa yang lain hanya berehat di sudut surau serta berlegar di sekitar kawasan kampung tersebut.
Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua turut bertanya khabar nasib yang menimpa penduduk.
Manakala pada jam 1.50 petang tadi, setelah perbincangan dengan pegawai penguatkuasa, mereka telah bersetuju surau dirobohkan secara ‘manual’.
Dan dalam perkembangan lain,kaum India di kawasan perkampungan tersebut tetap berkeras mempertahankan agar kuil Sri Maha Mariammah tidak dirobohkan walaupun dirahkan oleh pihak polis. Keadaan pula mula menjadi gawat dan kecoh apabila kaum India dari kawasan lain mula berkumpul di perkampungan tersebut untuk mempertahankan kuil mereka.
Ketika laporan ini disampaikan, mereka dikatakan sedang membuat benteng sampah dan manusia untuk mengelak daripada diserang daripada pihak FRU.
Namun, pihak polis tetap menerima arahan agar menyerbu dan merobohkan kuil berkenaan.

No comments: