Table header Table header
Table cell 1Table cell 2

Tuesday, January 1, 2008

Banjir Pahang

TUDM gugurkan bekalan makanan melalui udara

PEKAN 17 Dis. – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menggugurkan kira-kira 16 tan bekalan makanan melalui udara dengan pesawat C130 di kawasan Tanjung Selangor dan Kelab Golf Pantai Lagenda Kuala Pahang di sini.
Komandan Pangkalan TUDM Kuantan yang mengetuai operasi itu, Kolonel Abdul Malek Zakaria berkata, penghantaran bekalan makanan dari udara menggunakan payung terjun itu terpaksa dilakukan selepas pihaknya menemui jalan buntu menghantar bekalan menerusi jalan darat.
Katanya, operasi itu disertai oleh pesawat Skuadron ke-20 dari Pangkalan Udara Subang yang dipandu sendiri oleh Pegawai Pemerintahnya, Leftenan Kolonel Hashim Hamdan dengan melakukan dua penerbangan iaitu kira-kira pukul 1 petang dan 4.40 petang.
Tambah beliau, semua bekalan yang dimuatkan dalam 16 buah kontena dengan masing-masing seberat satu tan digugurkan dari ketinggian 650 kaki di udara yang kemudiannya dibawa ke pusat-pusat pemindahan banjir di Pekan.
Katanya, dua lagi penerbangan menggugurkan sebanyak 16 tan lagi bekalan makanan dari udara akan dijalankan esok di tempat yang sama.
‘‘Operasi ini mungkin diperluaskan ke daerah-daerah lain seperti Bera atau Rompin yang turut terputus hubungan darat,’’ jelasnya.
Operasi itu yang dikenali Ops Murni Banjir diselia oleh Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Rodzali Daud.
Penghantaran bekalan makanan dari udara itu dilakukan berikutan jalan darat Kuantan-Pekan terputus sama sekali ekoran banjir buruk yang melanda ketika ini.

utusan-online

No comments: