Table header Table header
Table cell 1Table cell 2

Monday, December 31, 2007

Benazir Terbunuh



Pakistan paling merbahaya di dunia?
Ali Bukhari Amir
Dec 28, 07
http://www.harakahdaily.net/


Sememangnya, tepat sekali apabila majalah Newsweek menyatakan bahawa antara negara yang amat merbahaya di dunia ini bukan wilayah Arab di Timur Tengah yang sedang dan sentiasa bergolak, tetapi negara yang paling merbahaya itu adalah Pakistan.

Dengan tajuk muka depan The World's Most Dangerous Country, 29 Oktober lalu dalam majalah tersebut, ia mengheret kenangan saya ke atas ucapan Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid dalam rapat umum antara NGO Muslim di Kota Bharu, 27-28 Oktober lalu.
Tepat dua bulan selepas itu, kelmarin 27 Disember, tanah Rawalpindi digegarkan dengan satu letupan yang mengorbankan jiwa sekitar 20 orang awam ketika rapat umum bersama bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto sedang diadakan.
Benazir, seperti yang dilaporkan telah ditembak seorang awam yang mendengar ceramah beliau dalam rapat umum anjurannya Dia mungkin diupah, atau boleh jadi sesiapa sahaja. Identitinya tak dapat dikenal pasti kerana sejurus tembakan peluru bersarang ke bahagian leher dan dada Benazir, dia meletupkan diri hingga mengorbankan orang awam lainnya.
Oleh itu, motif pembunuhan itu tidaklah diketahui sehingga kini.


Seperti Mahatma Gandhi dan Indira Gandhi, nyawa presiden di India dan Pakistan sudah murah. Indira, wanita pertama sebagai Perdana Menteri terbunuh pada 1984 oleh seorang Sikh, di mana ia terkait dengan keinginan menjadikan Punjab sebagai negara merdeka.
Dari segi ini, memang sedikit sebanyak ada juga persamaan watak antara Indira - Benazir ini. Kedua-duanya wanita. Tapi, Benazir tidak berada di puncak kekuasaan ketika dibunuh. Mungkinkah potensi Benazir kembali ke takhta itu menyebabkan beliau dibunuh sebelum pilihan raya?
Ini juga mungkin hipotesis baru. Dalam sejarah negara kita, bukannya tiada seteru politik pembangkang dibunuh kerana potensi dan kelantangan bersuara. Jika tidak percaya, cuba lihat dan semak semula peristiwa yang berlaku kepada Allahyarham Zulkifli Muhammad.
Hingga kini Bush-Musharraf, jalinan kedua-dua pelakon–pemimpin itu mula membantah keras, mengutuk dan entah apa lagi kenyataan sandiwara yang akan dihamburkan.

Ruang kesempatan itu diambil Musharraf untuk menyusun bait ayat untuk memukat undi rakyat. Dalam suatu kenyataan, sambil mengutuk serangan itu, Musharraf mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari untuk menghormati hari pengkebumian Benazir.
"Tindakan kejam ini adalah perbuatan pengganas yang sedang kami perangi selama ini," kata Musharraf. Sementara itu, angkatan para-tentera telah pun diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di sempadan negara, demikian menurut Reuters.
Sementara itu, pesaing Benazir, mantan Perdana Menteri Nawaz Sharif, mengumumkan bahawa partinya akan memulaukan pilihan raya kali ini berikutan pembunuhan tersebut.
"Sebenarnya," kata beliau, "Musharaflah 'akar punca kepada semua masalah' di Pakistan dan beliau perlu meletak jawatan segera."
"Tuntutan pilihan raya yang adil dan bebas adalah mustahil dilakukan ketika Musharraf berkuasa," kata bekas Perdana Menteri itu yang turut menyifatkan hal pembunuhan itu sebagai suatu malapetaka bagi "semua bangsa".

Benazir, kembali ke Pakistan Oktober lalu selepas hidup dalam buangan bagi mengelak tuduhan rasuah.
Sejak itu, Benazir telah selamat dalam dua serangan berani mati ketika beliau melakukan perjalanan dalam suatu perarakan di mana lebih seratus orang terbunuh di dalam kejadian itu. Seperti biasa puak militan dipersalahkan atas serangan itu, tapi Benazir tetap berazam meneruskan kempen. Usaha membunuhnya berterusan dan kini membuahkan hasilnya.
Beliau meninggal dunia di Hospital Besar Rawalpindi kira-kira 6:16 petang (9:16 malam waktu Malaysia ) melalui pengesahan seorang anggota delegasi PPP, Wasif Ali Khan.
Walaupun cara kematian beliau dipertikaikan, seperti tembakan ke bahagian tertentui dan sebagainya, namun hal yang pasti ialah, pengikut Benazir meneriakkan nama Musharraf sebagai dalang pembunuhan itu dengan menggelarnya sebagai 'anjing' dan 'pembunuh'.
Wanita berusia 54 tahun ini bersama partinya, Pakistan People's Party (PPP) ketika ini sedang berkempen menjelang pilihan raya Pakistan yang akan dijadualkan dilaksanakan pada 8 Januari tahun depan.
Bapa Benazir, Zulfikar Ali Bhutto, adalah Perdana Menteri pertama Pakistan yang dipilih menerusi pilihan raya. Beliau dihukum bunuh selepas digulingkan tentera pada 1979.
Benazir menang pilihan raya 1988 pada usia 35 tahun, lalu menjadi pemimpin wanita dunia Islam pertama. Seperti bapanya, dia digulingkan pada 1990 dan dipilih semula pada 1993 sebelum diguling sekali lagi pada 1996 atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa

No comments: