Table header Table header
Table cell 1Table cell 2

Tuesday, January 1, 2008

Nurin Jazlin

Banteras jenayah seksual dari peringkat awal

MOHD. ARIF ATAN, (Universiti Malaya.)

PEMBUNUH Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin sehingga kini masih belum ditahan. Oleh itu setiap ibu bapa, kanakkanak dan remaja harus berhati-hati dengan penjenayah seksual.
Kes membabitkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan. Berdasarkan kenyataan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sepanjang tahun 2003 sehingga Ogos 2007 lepas, sebanyak 68 peratus iaitu 6,688 kes daripada jumlah 9,700 kes perkosaan melibatkan kanak-kanak iaitu di bawah umur 18 tahun. Sepanjang tempoh yang sama juga dilaporkan sejumlah 62 peratus iaitu 1,467 kes sumbang mahram dilakukan oleh ahli keluarga mangsa (Utusan Malaysia, 20 November 2007).

Hakikatnya, pola dan modus operandi jenayah seksual mutakhir ini semakin cenderung ke arah sadisme iaitu perlakuan dan tindakan memuaskan nafsu dengan menyeksa dan menyakiti mangsa. Profil penjenayah seksual kini semakin rencam dengan terdiri daripada pelbagai peringkat usia serta latar belakang sosial. Perwatakan yang kemas dengan raut muka yang kelihatan baik belum tentu melambangkan mereka tidak termasuk dalam kelompok penjenayah seksual. Sering kali juga kes melibatkan orang yang dikenali oleh mangsa mahupun keluarga mangsa.
Persekitaran sosial semakin tidak selamat untuk kanak-kanak perempuan terutamanya lepas bebas tanpa pemantauan anggota keluarga yang benar-benar boleh dipercayai. Mereka ibarat ikan kecil yang terdedah pada serangan ikan jerung pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Individu yang terbabit dalam penyimpangan sosial ini sebenarnya mempunyai latar belakang peribadi yang memang sedia bermasalah seperti dibesarkan dalam suasana keluarga yang pincang.
Pengalaman silam sebagai mangsa dera fizikal atau seksual juga titik tolak kecenderungan mereka melakukan jenayah seksual pada masa akan datang. Perkara ini berlaku apabila trauma yang dialami tinggal membekas dalam kerangka pemikiran dan sikap ini dapat dilihat pada kegelisahan keterlaluan serta rasa rendah diri yang tidak dapat dibendung.
Akibatnya, mereka gagal memberi pertimbangan secara rasional serta tidak berfikir dua kali dalam tindakan yang bakal dilakukan.

Selain itu, tidak dapat ditolak ialah penyebaran segala macam bentuk bahan pornografi yang juga penyumbang kepada kes jenayah seksual. Ini ditambah dengan perkembangan pesat kemajuan teknologi maklumat dan teknologi hari ini yang kerap disalahgunakan.
Oleh sebab itu, selain daripada usaha-usaha tipikal membendung peningkatan jenayah sadisme ini seperti peranan institusi kekeluargaan, penekanan juga harus diberi kepada usaha mengenal pasti seterusnya mencantas ‘tunastunas’ penjenayah seksual.

Dalam masa yang sama, persoalan ‘akar’ juga tidak harus dilupakan. Didikan agama yang berkesan wajib sentiasa diberi penekanan sepanjang masa sebagai benteng pegangan dan kawalan diri. Suatu mekanisme jelas perlu diwujudkan bagi mengesan seterusnya memantau perkembangan diri dan emosi mereka yang dilihat ‘berpotensi’ sejak di peringkat kanak-kanak lagi. Kenakalan luar biasa yang tidak sepadan dengan usia, keghairahan berfantasi, sikap ingin tahu yang melampau serta perasaan hormat diri yang rendah antara petunjuk untuk semua pihak mengatur pelbagai strategi ‘memulihkan’ ketidakstabilan psikologi dan mental mereka.
Pastinya usaha ini memakan masa panjang serta melibatkan banyak tenaga dan kos. Namun, mahu tidak mahu ia perlu dimulakan dari sekarang sebelum keadaan semakin parah.
Adakah kita mahu melihat lebih ramai pewaris generasi masa depan termasuk anggota keluarga kita sendiri terkorban, sama ada menjadi mangsa mahupun sebagai penjenayah seksual?

26/12/2007 utusan online

No comments: