Table header Table header
Table cell 1Table cell 2

Wednesday, January 30, 2008

Rafah - Mesir Tutup Sempadan




RAFAH, Mesir 29 Jan. – Mesir telah meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar bandar sempadan Rafah dan menutup bahagian tembok sempadan yang diletupkan minggu lalu dalam usaha mengawal pengaliran keluar dan masuk penduduk Gaza.
Pasukan keselamatan Mesir telah memasang kawat berduri di beberapa ruang terbuka tembok sempadan dengan wilayah Palestin tatkala polis pencegah rusuhan ditempatkan di sepanjang laluan dari bandar Rafah ke lintasan sempadan.

Penduduk Palestin di Gaza telah menyerbu Mesir bagi membeli bekalan selepas seminggu terkepung di wilayah pesisir selepas rejim Tel Aviv menutup semua lintasan sempadan.
Kepungan Israel itu menyebabkan pejuang Palestin meletupkan tembok sempadan di Rafah bagi memboleh beratus-ratus ribu penduduk Gaza menyeberang sempadan ke Mesir.
Sementara itu Menteri Luar Mesir, Ahmed Abul Gheit berkata, negaranya akan “memulihkan keadaan di sempadan hingga ke tahap yang boleh diterima” dan meminta rejim Tel Aviv menamatkan “hukuman kolektif” ke atas penduduk awam Gaza.

Sementara itu kedai-kedai di Rafah dilapor mengalami kekurangan bekalan selepas Mesir bertindak menyekat kemasukan bekalan baru dari Kaherah bermula hari Selasa,
“Kami hampir kehabisan vaksin untuk kanak-kanak sejak hari pertama (kemasukan penduduk Palestin). Kami telah membuat pesanan baru tetapi dihalang oleh pihak berkuasa Mesir di Jambatan Keamanan (di Sinai),” kata seorang peniaga farmasi.

No comments: